Laman

Selasa, 19 Jun 2012

Pengharaman Arak


ISLAM mengharamkan arak sejak 14 abad yang lalu. Orang Arab jahiliah sebelum kedatangan Islam adalah peminum arak yang tegar. Mereka menganggap arak sebagai minuman terbaik untuk menikmati keseronokan hidup sebenar. Terdapat juga di kalangan segelintir umat Arab jahiliah yang baru memeluk Islam cuba mempengaruhi Rasulullah SAW dengan mengatakan arak boleh menjadi penawar dan ubat untuk seseorang. Rasulullah segera menyanggah anggapan itu dengan bersabda:

“Ia bukan ubat, bahkan sebenarnya adalah punca kepada segala penyakit” (riwayat Muslim).

Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah Al-Maaidah: Ayat 90)
Allah SWT Melaknat Sepuluh Golongan Yang Terlibat Dengan Arak

” Diriwayatkan daripada Anas r.a bahawa Rasulallah s.a.w telah melaknat sepuluh golongan yang terlibat dengan arak:

1. orang yang memerah arak
2. orang yang diminta arak diperah untuknya
3. orang yang meminumnya
4. orang yang membawanya
5. orang yang meminta dibawa arak kepadanya
6. orang yang memberi minum arak kepada orang lain
7. orang yang menjual arak
8. orang yang mendapat hasil daripada arak
9. orang yang membeli arak
10. orang yang meminta dibelikan arak untuknya “

(Hadith Riwayat Ibnu Majah dan Tarmizi)

Huraian Hadith

i) Arak yang juga disebut “khamar” dalam bahasa Arab bermaksud minuman yang memabukkan. Ia menjadi minuman kemegahan bagi orang-orang fasik, kafir dan munafik. Di dalam Islam hukum meminumnya adalah haram.

ii) Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa arak itu adalah ibu segala kejahatan. Ini terbukti di mana hasil kajian mendapati bahawa arak sebenarnya boleh merosakkan fizikal dan mental manusia di mana dari segi ilmu perubatan arak itu boleh memberi kemudharatan pada tubuh badan manusia seperti menyebabkan penyakit lemah jantung, barah mulut, tengkuk, kerongkong, penyakit saraf dan penyakit hati.

iii) Manakala dari aspek mental pula al-Quran sendiri ada menyebut bahawa arak itu akan mendedahkan gejala yang tidak baik kepada individu, masyarakat dan negara di mana seseorang yang meminum arak pasti akan mengalami gangguan minda, hilang pertimbangan dan kesedaran diri menyebabkan ia akan melakukan sesuatu perkara buruk yang tidak pernah dilakukan ketika dia berkeadaan waras. Inilah puncanya berlaku permusuhan dan kebencian serta terjadinya penyakit sosial seperti gejala seks bebas, pembunuhan dan kemalangan jalanraya.

iv) Sesungguhnya tujuan utama Islam mengharamkan pengambilan arak adalah untuk menjaga keperibadian manusia daripada perkara-perkara yang merosakkan selain daripada kesan arak itu sendiri yang boleh melalaikan diri daripada mengingati Allah. Bahkan para fuqaha mengatakan bahawa jenayah arak ini sebenarnya samalah seperti kesalahan mencuri dan berzina di mana hukuman yang bersabit dengan arak ini adalah sebat antara 40 hingga 80 kali.

v) Larangan arak selain daripada yang disebutkan di dalam hadis di atas juga berlaku pada larangan menghadiri majlis di mana arak disediakan untuk para tetamu. Oleh itu menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk menjauhi arak daripada kehidupan mereka dan bersama membenteras gejala tidak sihat ini daripada terus menular di dalam masyarakat

Arak Merosakkan Akal Manusia

Rasulullah s.a.w bersabda lagi,yang bermaksud: ”Arak ialah setiap yang merosakkan akal fikiran."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Huraian Hadith

1. Ijmak ulama’ telah menetapkan bahawa meminum arak adalah haram sama ada dengan kuantiti yang sedikit atau pun banyak.

2. Islam juga mengharamkan daripada menjual, membeli, ataupun memperniagakan arak meskipun dengan orang yang bukan Islam. Hal ini tidak terkecuali dengan mengangkut atau membawa serta membuat arak. Hukumnya juga haram.

3. Demikian juga Islam mengharamkan seseorang Muslim menjual anggur kepada orang yang mahu memprosesnya menjadi arak.

4. Majlis-majlis yang berunsur arak juga hendaklah diboikot dan kita dilarang mendampingi peminum arak.

5. Menggunakan arak semata-mata sebagai ubat juga adalah haram dan berdosa. Lain halnya dengan campuran ubat dengan kadar tertentu dari alkohol- contohnya kerana darurat-seperti untuk memelihara sesuatu supaya tidak rosak. Tetapi ia hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut:

i) Terdapat bahaya yang sebenar ke atas kesihatan manusia jika tidak meminum ubat tersebut.

ii) Tiada ubat lain yang halal untuk menggantikannya.

iii) Ia hendaklah dengan nasihat seorang doktor Muslim yang dipercayai dalam profesionnya dan juga dari segi agamanya. Hal ini kerana prinsip Islam itu berdiri di atas dasar kemudahan, menghindarkan bahaya dan melaksnakan maslahah berdasarkan firman Allah S.W.T yang bermaksud:
” Sesiapa yang terpaksa (memakannya) tanpa mengingininya dan tanpa mengulanginya maka tiada dosa atasnya.” (al-Baqarah: 173)
Azab Bagi Golongan Yang Terlibat Dengan Arak

Diantara hadith-hadith mengenai azab peminum arak:

Didalam Hadith Nabi S.A.W mengambarkan tentang ancaman bagi peminum arak, sepertimana yang diriwayatkan oleh Jabir r.a dalam sebuah hadith yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah Subhanahu wata’ala memiliki janji untuk orang-orang yang meminum minuman keras (yang memabukkan), akan memberinya minum dari Thinatul khabal” mereka bertanya : “ wahai Rasulullah, apakah Thinatil khabal itu ? beliau menjawab : keringat ahli neraka atau cairan kotor (yang keluar dari tubuh) penghuni neraka” (HR Muslim)
Ibnu Abbas meriwayatkan,Rasulullah SAW bersabda:
“Barang siapa meninggal (Mati) sebagai peminum arak, maka ia akan bertemu dengan Allah dalam keadaan seperti penyembah berhala” (HR Ath Thabrani, 12/45, Shahihul Jami’ : 6525)
Rasulullah SAW bersabda;
“Barang siapa mati dalam keadaan tidak berhenti minum arak, niscaya Allah Ta’ala akan memberinya minum air sungai Ghuthah.Yaitu sungai di neraka yang bersumber dari kemaluan para pelacur.”(HR.Imam Ahmad)

Wallahu’alam….

Sabtu, 14 Januari 2012

Rokok Adalah HARAM

PUTRAJAYA: Masih ramai di kalangan umat Islam di negara ini mengambil mudah mengenai fatwa Merokok Adalah Haram, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Othman Mustapha.

Justeru itu katanya, Jakim dan Kementerian Kesihatan hari ini bekerjasama mengadakan Seminar Pendidikan Fatwa Merokok Adalah Haram sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran.

Walaupun pelbagai kempen kesedaran telah dilaksanakan, Othman berkata jumlah penghisap rokok terus meningkat.

Menurut Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada tahun ini lebih lima juta penduduk dunia akan mati akibat penyakit berkaitan merokok antaranya serangan jantung, strok dan kanser.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah membincangkan Hukum Merokok Dari Pandangan Islam. 
Muzakarah telah memutuskan bahawa merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan.

Keterangan/Hujah:

1. Keputusan yang telah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia tersebut adalah bersandarkan kepada hujah-hujah berikut:

i. Rokok mengandungi pelbagai jenis racun. Fakta daripada kajian-kajian perubatan telah membuktikan bahawa setiap batang rokok mengandungi 6-8 mg. nikotian dan pelbagai bahan kimia lain. Setiap sedutan asap rokok sebenarnya kita telah menghidu sebanyak 4,000 jenis bahan kimia yang boleh memudharatkan badan.

ii. Ketagihan tembakau bukan hanya menimbulkan masalah kepada perokok, malah ia berada di tempat keempat dalam senarai faktor risiko bagi penyakit serius yang menular di seluruh dunia. Tabiat merokok dikaitkan dengan risiko barah, penyakit jantung dan masalah pernafasan. Terdapat beberapa jenis penyakit yang berpunca dari merokok, antaranya ialah kanser kerongkong, kanser mulut, katarak (sejenis kerosakan mata yang menyebabkan kanta mata berselaput dan rabun), ulser perut, penyakit jantung, strok, penyakit paru-paru, emfisema paru-paru dan banyak lagi.

iii. Pada masa kini jumlah perokok sama ada dinegara maju atau negara membangun masih begitu besar, walaupun berbagai usaha telah dibuat oleh Kerajaan serta badan-badan sukarela bagi menyedarkan orang ramai tentang bahayanya merokok kepada orang ramai. Di Malaysia, merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian setahun; 30% daripadanya disebabkan 10 jenis kanser, iaitu paru-paru, mulut, esophagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut. Sebanyak 50% kematian berpunca daripada sakit jantung dan strok. Kerajaan telah membelanjakan banyak wang untuk merawat berbagai jenis penyakit yang dikaitkan dengan tabiat merokok dan negara juga mengalami kerugian kira-kira RM 20 billion setahun bagi menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti.

iv. Imam al-Syafi’e telah mengeluarkan fatwa dalam kitabnya yang masyhur al-Umm iaitu:
” Jika mereka mengambil (sesuatu makanan, minuman atau sesuatu yang dihisap, dihidu dan disedut) yang boleh memabukkan, maka perbuatan itu adalah jelas haram. (Termasuklah) yang mengandungi racun yang menyebabkan kematian. Aku tetap menganggap (menfatwakan) ia adalah haram. Allah swt mengharamkan (apapun jenis) pembunuhan kerana pembunuh bermakna membunuh diri sendiri”.
v. Para ulama’ sepakat menyatakan bahawa merokok hukumnya haram kerana ianya jelas memudharatkan kesihatan, membazir dan mensia-siakan harta serta dikategorikan sebagai satu perkara keji, berdasarkan nas-nas berikut:

a. Firman Allah swt dalam Surah al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”.

b. Firman Allah swt dalam Surah al-A’raf ayat 157 yang bermaksud; “ Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk”.

c. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “ Tidak boleh memberi mudharat dan membalas dengan kemudharatan”. (Hadith riwayat Ahmad, Malik, Ibn Majah dan al-Daraqutni)

d. Kaedah Usul Fiqh: درء المفاسد مقدم على جلب المصالح yang bermaksud “ menolak kerosakan adalah didahulukan daripada mencari kemaslahatan”

e. Imam Ibn. Hazm dalam kitabnya al-Muhalla, jilid 7, halaman 503 (masalah no. 1027) menegaskan bahawa : “Pemborosan adalah haram”. Yang dimaksudkan dengan pemborosan di sini ialah:

i. Membelanjakan wang untuk perkara yang diharamkan oleh Allah swt, samada banyak atau sedikit, walaupun sebesar sayap nyamuk sekalipun.

ii. Pembaziran yang tidak ada keperluannya.

iii. Membuang wang, betapa kecilpun jumlahnya kerana dengan membuang tanpa tujuan itu menjadikannya sia-sia.

vi. Beberapa negara Islam dan beberapa ulama’ muktabar telah mengeluarkan fatwa tentang amalan merokok.

Antaranya seperti berikut:
a. Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan fatwa bahawa merokok, menanam tembakau dan memperniagakannya adalah hukumnya haram kerana daripadanya terdapat kemudharatan.

b. Ulama’-ulama’ semasa Mesir seperti Dr. Abdul Jalil Shalaby mengatakan merokok adalah haram kerana ia boleh mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan masyarakat.

c. Al Imam Abdul Halim Mahmud dalam kitabnya “Fatawa al-Imam Abdul Halim Mahmud” telah memberi fatwa merokok hukumnya makruh jika ia tidak mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan. Sebaliknya adalah haram jika ia mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan.

2. Hukum pengharaman arak dan khinzir tidak boleh disamakan dengan hukum haram merokok kerana hukum pengharaman terhadap arak dan khinzir telah dinyatakan secara jelas dan qat’ie oleh Allah swt dalam kitab suci al-Quran. Manakala hukum pengharaman terhadap perbuatan merokok telah diistinbatkan oleh para jumhur ulama’ terdahulu dan masa kini bersandarkan hujah-hujah kepada nas-nas syarak yang jelas dinyatakan seperti al-Quran, al-Hadith, Ijma’ Ulama’, Qaedah-qaedah Fiqhiyah dan sebagainya. Ayat-ayat al-Quran dan hadith seperti yang dinyatakan di atas jelas telah memperincikan isu ini.

3. Al-Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf, bekas Mufti Mesir dalam Kitabnya Fatawa Syariyyah Wa Buhuth Islamiyah menyatakan:
“ Sesungguhnya tumbuhan (tembakau) ini dahulunya belum dikenali. Apabila ia diperkenal dan digunakan oleh manusia untuk merokok, maka ulama’-ulama’ fiqh daripada pelbagai mazhab Islam telah membincangkannya untuk menetapkan hukumnya berdasarkan prinsip (qaedah fiqhiyyah) yang telah ditetapkan.”
“Sesungguhnya berdasarkan hukum asal sesuatu itu harus. Tidak akan terkeluar daripada prinsip asal melainkan adanya perkara-perkara yang mengubah hukumnya menjadi haram atau sebagainya.”
Dalam isu merokok ini, sebab yang menjadikannya haram ialah kesan mudharat dan bahayanya sehingga meruntuhkan lima asas utama (al-Kulliyatul Khams) yang wajib dipelihara oleh setiap manusia iaitu agama, 
jiwa, maruah keturunan, akal dan juga harta.

Sistem Hisbah Pelihara Islam

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Okt 2011 – Semua kerajaan Islam termasuk Negara Brunei Darussalam digesa supaya menubuhkan sebuah badan yang mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran yang dilaksanakan di bawah sistem Hisbah, yang turut mampu mencegah jenayah daripada berlaku, sebagaimana menjadi amalan di Arab Saudi sekian lamanya.

Tugas Badan Amar Ma’ruf Wa Nahy An Mungkar adalah membimbing dan menasihati orang ramai mengikuti kewajipan agama yang ditetapkan syari’at Islam dan mengajak mereka menunaikannya serta menegah daripada mungkar dengan apa-apa tindakan yang menghalang perkara haram dan ditegah oleh syara’ dilakukan atau pun mengikuti adat dan ikutan tidak elok atau bid’ah yang mungkar.

Tatkala masyarakat di Barat mula sedar akan bencana kerosakan yang melanda masyarakat mereka pada ketika ini, mereka pun menubuhkan pasukan yang dinamakan sebagai polis komuniti, yang berperanan seperti Badan Amar Ma’ruf Wa Nahy An Mungkar itu, ujar Jeneral Saad Abdullah AlArifie.

Maka jika masyarakat Barat pun sudah terpanggil untuk melaksanakan Hisbah walaupun bukan bertolak dari asas syara’, tetapi daripada keinginan mereka untuk memelihara masyarakat mereka daripada bencana kerosakan akhlak, apatah lagi masyarakat Islam yang sememangnya diperintahkan Allah berbuat sedemikian.

Firman Allah dalam Ayat 104 Surah Al-Imran yang kira-kira bermaksud, 
“Hendaklah ada di kalangan kamu sekumpulan yang mengajak kepada kebaikan, menyuruh melakukan perkara yang elok dan mencegah daripada melakukan perkara mungkar, mereka itulah sebenar-benarnya golongan yang berjaya.”
Menurut pembentang kertas kerja “Sistem Hisbah dan Kesannya dalam Memelihara Matlamat dan Tujuan Syara” itu, kerajaan Arab Saudi sebagai satu-satunya kerajaan di dunia ini yang melaksanakan syariat Islam secara umumnya dan melaksanakan amar ma’ruf dan nahy mungkar secara khususnya.

Melalui Badan Amar Ma’ruf Wa Nahy An Mungkar di bawah sistem Hisbah itu Arab Saudi mendapat kesan yang begitu besar iaitu keamanan dan kestabilan negara serta berjaya mengawal rakyatnya daripada melakukan perkara buruk yang melanda kebanyakan negara di dunia, tambahnya.
“Badan itu mempunyai pengaruh besar terhadap warga Arab Saudi yang boleh menjadi contoh ikutan bagi dunia Islam lain dalam memelihara segala urusan keagamaannya, antaranya memelihara maruah dan melindungi akhlak kaum Muslimin dengan memerangi segala yang tidak elok dan menyemarakkan segala yang baik.”
Menurutnya lagi dalam Seminar Antarabangsa Perundangan Islam itu, badan berkenaan menghalang pergaulan dan percampuran bebas, mendedahkan aurat dan mempamerkan hiasan kecantikan, mengawasi sekolah-sekolah perempuan dan pasar, menghalang para belia dari melepak di pasar raya dan mengekori wanita.

Contoh paling ketara, menurutnya, adalah sewaktu pelawat dari negara lain sama ada Islam atau bukan Islam datang, mereka akan menyaksikan apabila tiba waktu solat, maka semua kedai dan premis perniagaan akan ditutup, dan semua orang akan ke masjid bagi menunaikan solat berjemaah.
“Begitu juga mereka akan melihat bahawa tidak terdapat sebarang gejala lain yang merosakkan tatasusila Islam atau yang bercanggah dengan ajaran Islam yang suci, mereka tidak akan temui panggung wayang, tempat perjudian, tempat menjual arak, pendedahan aurat dan memperagakan diri oleh wanita, dan tempat pergaulan bebas lelaki dan perempuan.”
Indahnya lagi menjelang Ramadhan setiap tahun, Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan surat keliling menyeru setiap anggota masyarakat yang bukan Islam supaya jangan makan dan minum secara terang-terangan di depan orang Islam, menutup kedai makan dan minum, serta tidak boleh menghidangkan makanan di siang hari.

Menurut pembentang dari Arab Saudi itu lagi, disebabkan pelaksanaan Hisbah itu tergendala di kebanyakan masyarakat Islam, maka pengertian Hisbah dan kefahamannya dilupakan sehingga ia seolah-olah menjadi suatu yang baru dalam masyarakat Islam.

Beliau menerangkan, Hisbah adalah menyuruh berbuat kebaikan apabila nyata ia ditinggalkan atau tidak dilakukan dan melarang daripada mungkar apabila nyata perbuatan itu dilakukan serta merapatkan hubungan antara manusia. Ia adalah satu jawatan keagamaan dari bab menyuruh kebaikan dan melarang kemungkaran.

Sistem Hisbah adalah satu aspek amali dan pelaksanaan sebenar bagi amalan “menyuruh kepada kebaikan dan menegah dari kejahatan” yang bukan saja penting bagi pembangunan dan kemajuan umat, tetapi juga merupakan tapak yang menjadi asas bagi mendirikan Rukun Islam dan menzahirkan syiarnya.
“Hisbah bukan saja antara cara terpenting membentuk masyarakat ke arah keamanan dan kedamaian tetapi juga menjadi langkah yang dapat menghalang jenayah daripada berlaku, tonggak kepada keamanan masyarakat dan bahtera kepada keselamatan umat ini.”
Hisbah adalah satu bentuk jaminan sosial dalam sistem kemasyarakatan Islam. Jika zakat dan sedekah menjadi jaminan sosial di sudut kebendaan, maka Hisbah adalah merupakan jaminan sosial di sudut moral.

Ia menjadi pagar pelindung daripada segala keburukan dan bahaya yang boleh mengancam binaan masyarakat berkenaan, bahkan ia menjadi kumpulan yang bekerja untuk menghalang berlakunya kerosakan serta membetulkannya jika berlaku, katanya.

Sumber : Harian Metro