ISLAM mengharamkan arak sejak 14 abad yang lalu. Orang Arab jahiliah sebelum kedatangan Islam adalah peminum arak yang tegar. Mereka menganggap arak sebagai minuman terbaik untuk menikmati keseronokan hidup sebenar. Terdapat juga di kalangan segelintir umat Arab jahiliah yang baru memeluk Islam cuba mempengaruhi Rasulullah SAW dengan mengatakan arak boleh menjadi penawar dan ubat untuk seseorang. Rasulullah segera menyanggah anggapan itu dengan bersabda:
“Ia bukan ubat, bahkan sebenarnya adalah punca kepada segala penyakit” (riwayat Muslim).
Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah Al-Maaidah: Ayat 90)
Allah SWT Melaknat Sepuluh Golongan Yang Terlibat Dengan Arak
” Diriwayatkan daripada Anas r.a bahawa Rasulallah s.a.w telah melaknat sepuluh golongan yang terlibat dengan arak:
1. orang yang memerah arak
2. orang yang diminta arak diperah untuknya
3. orang yang meminumnya
4. orang yang membawanya
5. orang yang meminta dibawa arak kepadanya
6. orang yang memberi minum arak kepada orang lain
7. orang yang menjual arak
8. orang yang mendapat hasil daripada arak
9. orang yang membeli arak
10. orang yang meminta dibelikan arak untuknya “
(Hadith Riwayat Ibnu Majah dan Tarmizi)
Huraian Hadith
i) Arak yang juga disebut “khamar” dalam bahasa Arab bermaksud minuman yang memabukkan. Ia menjadi minuman kemegahan bagi orang-orang fasik, kafir dan munafik. Di dalam Islam hukum meminumnya adalah haram.
ii) Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa arak itu adalah ibu segala kejahatan. Ini terbukti di mana hasil kajian mendapati bahawa arak sebenarnya boleh merosakkan fizikal dan mental manusia di mana dari segi ilmu perubatan arak itu boleh memberi kemudharatan pada tubuh badan manusia seperti menyebabkan penyakit lemah jantung, barah mulut, tengkuk, kerongkong, penyakit saraf dan penyakit hati.
iii) Manakala dari aspek mental pula al-Quran sendiri ada menyebut bahawa arak itu akan mendedahkan gejala yang tidak baik kepada individu, masyarakat dan negara di mana seseorang yang meminum arak pasti akan mengalami gangguan minda, hilang pertimbangan dan kesedaran diri menyebabkan ia akan melakukan sesuatu perkara buruk yang tidak pernah dilakukan ketika dia berkeadaan waras. Inilah puncanya berlaku permusuhan dan kebencian serta terjadinya penyakit sosial seperti gejala seks bebas, pembunuhan dan kemalangan jalanraya.
iv) Sesungguhnya tujuan utama Islam mengharamkan pengambilan arak adalah untuk menjaga keperibadian manusia daripada perkara-perkara yang merosakkan selain daripada kesan arak itu sendiri yang boleh melalaikan diri daripada mengingati Allah. Bahkan para fuqaha mengatakan bahawa jenayah arak ini sebenarnya samalah seperti kesalahan mencuri dan berzina di mana hukuman yang bersabit dengan arak ini adalah sebat antara 40 hingga 80 kali.
v) Larangan arak selain daripada yang disebutkan di dalam hadis di atas juga berlaku pada larangan menghadiri majlis di mana arak disediakan untuk para tetamu. Oleh itu menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk menjauhi arak daripada kehidupan mereka dan bersama membenteras gejala tidak sihat ini daripada terus menular di dalam masyarakat
Arak Merosakkan Akal Manusia
Rasulullah s.a.w bersabda lagi,yang bermaksud: ”Arak ialah setiap yang merosakkan akal fikiran."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Huraian Hadith
1. Ijmak ulama’ telah menetapkan bahawa meminum arak adalah haram sama ada dengan kuantiti yang sedikit atau pun banyak.
2. Islam juga mengharamkan daripada menjual, membeli, ataupun memperniagakan arak meskipun dengan orang yang bukan Islam. Hal ini tidak terkecuali dengan mengangkut atau membawa serta membuat arak. Hukumnya juga haram.
3. Demikian juga Islam mengharamkan seseorang Muslim menjual anggur kepada orang yang mahu memprosesnya menjadi arak.
4. Majlis-majlis yang berunsur arak juga hendaklah diboikot dan kita dilarang mendampingi peminum arak.
5. Menggunakan arak semata-mata sebagai ubat juga adalah haram dan berdosa. Lain halnya dengan campuran ubat dengan kadar tertentu dari alkohol- contohnya kerana darurat-seperti untuk memelihara sesuatu supaya tidak rosak. Tetapi ia hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut:
i) Terdapat bahaya yang sebenar ke atas kesihatan manusia jika tidak meminum ubat tersebut.
ii) Tiada ubat lain yang halal untuk menggantikannya.
iii) Ia hendaklah dengan nasihat seorang doktor Muslim yang dipercayai dalam profesionnya dan juga dari segi agamanya. Hal ini kerana prinsip Islam itu berdiri di atas dasar kemudahan, menghindarkan bahaya dan melaksnakan maslahah berdasarkan firman Allah S.W.T yang bermaksud:
” Sesiapa yang terpaksa (memakannya) tanpa mengingininya dan tanpa mengulanginya maka tiada dosa atasnya.” (al-Baqarah: 173)
Azab Bagi Golongan Yang Terlibat Dengan Arak
Diantara hadith-hadith mengenai azab peminum arak:
Didalam Hadith Nabi S.A.W mengambarkan tentang ancaman bagi peminum arak, sepertimana yang diriwayatkan oleh Jabir r.a dalam sebuah hadith yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah Subhanahu wata’ala memiliki janji untuk orang-orang yang meminum minuman keras (yang memabukkan), akan memberinya minum dari Thinatul khabal” mereka bertanya : “ wahai Rasulullah, apakah Thinatil khabal itu ? beliau menjawab : keringat ahli neraka atau cairan kotor (yang keluar dari tubuh) penghuni neraka” (HR Muslim)
Ibnu Abbas meriwayatkan,Rasulullah SAW bersabda:
“Barang siapa meninggal (Mati) sebagai peminum arak, maka ia akan bertemu dengan Allah dalam keadaan seperti penyembah berhala” (HR Ath Thabrani, 12/45, Shahihul Jami’ : 6525)
Rasulullah SAW bersabda;
“Barang siapa mati dalam keadaan tidak berhenti minum arak, niscaya Allah Ta’ala akan memberinya minum air sungai Ghuthah.Yaitu sungai di neraka yang bersumber dari kemaluan para pelacur.”(HR.Imam Ahmad)
Wallahu’alam….
Oleh: HasnulHadiAhmad.Com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan